reallifegoeslikethis
Pelajaran Minggu Ini: Benarlah kata dia:) Tidak, ini bukanlah sesi
mengampu memuji sesiapa. Ini juga bukan sesi pujuk-memujuk. Ia cuma suatu penyataan pemikiran yang tulus dan ikhlas daripada seorang saya.
Dua minggu lepas saya dimarahi seorang teman. Marahnya begitu menakutkan. Garangnya bukan main lagi. Taklah terkejut mana pun saya kerna saya tahu dia ini memang begitu tegas dan berjadual orangnya. Tapi tak pula saya ini
mak nyah lembut tak bertempat dan begitu lewa orangnya. Cuma saya ini lemah, kerapkali berbuat salah.
Niat saya cuma untuk meraikan hati seorang teman. Dia sibuk, saya faham itu. Tapi saya ini tak sibukkah? Tidak, kalian suka benar salah faham. Ini bukan perbalahan pakwe-makwe yang jiwang-jiwang. Ini cuma rasa tak difahami di sudut hati manusia.
Saya baru pulang dari suatu tempat yang jauh waktu itu. Empat hari saya di sana dan tak lebih 10 jam saya tidur di sana. Saya letih. Dalam letih-letih itu saya teringatkan dia. Kenapa dia, bukan mereka? Kerna dia berkata pada saya:
Jagalah mata, jagalah hati, jagalah segala-galanyaKerna ingatan itu tersangat besar buat insan seperti saya. Saya ini entah mengapa mudah benar menarik perhatian 'bunga'. Dan saya ini suka pula 'membuka cawangan'. Alhamdulillah ingatan 'menjaga serba-serbi' itu membolehkan saya berada di landasan yang betul. Dan kerna ingatan itu bukanlah kerna dia cemburukan saya, bukan pula kerna dia bimbangkan kedudukan 'cawangan utama'. Saya sukakan kejujuran hati.
Saya tahu apa yang saya beli itu tak mahal. Saya sedar dia boleh beli itu dengan senang-senang saja. Tapi yang ada bersama buah tangan saya itu ingatan tulus ikhlas terima kasih seorang kawan. Saya faham yang tulus-ikhlas dan niat baik itu tak dapat dilihat. Lebih daripada tahu saya bahawa yang baik-baik daripada hati itu tak dapatlah membaiki kesalahan sesuatu perbuatan.
Hanya semata-mata buah tangan itu, saya ke hulu hilir. Waktu dia berpesan supaya tinggalkan saja buah tangan itu pada seorang yang lain, saya sejujurnya enggan. Tapi dia terlalu keras, terlalu tegas. Jika hatinya kata ya, maka sedunia usahlah mahu mencabarnya.Saya cuba usahakan.
Namun dalam dunia globalisasi ini, peristiwa mana tak sampai ke telinga manusia lain? Mulut mana tak mampu mencabar hebatnya
e-mail berantai? Sekali lagi kerna saya timbang-timbang kata-katanya:
Hati manusia bukan untuk dipermain. Kita mesti menjaga hati manusia yang lainManusia suka menduga. Lebih kompleks dan bahaya dugaan mereka itu, makin seronok mereka mencanangkannya. Kalau dia rasa bosan dengan manusia yang bercakap bukan-bukan, maka saya sudah lebih daripada muntah hijau mendengarkan kata-kata manusia lain. Saya bencikan fitnah. Saya bencikan kata-kata mereka yang tak sudah buat spekulasi dan berseronok mempermainkan kebenaran kata orang. Seolah-olah mereka tuhan.
Hati dia dan hati semua. Saya mahu jaga semuanya. Saya mahu raikan semuanya. Tapi bila daripada hati semua lahirnya rasa tak saya faham, bukanlah bermakna saya perlu menurut saja pada kehendak semua. Saya ada hak sendiri dan hati ini saya yang punya. Saya dan dia adalah rakan. Teman. Kawan. Semua dan dia saya sayang.
Namun buah tangan itu, seperti mana-mana hadiah lain adalah tiket untuk mnyusahkan keadaan. Tiket mulut-mulut malas berzikir pada nama tuhannya supaya dia punya banyak masa untuk lalai pada panasnya neraka. Ya, saya ini pesimis. Saya ini terlalu gemar berspekulasi. Namun bukankah spekulasi itulah yang menyelamatkan?
Saya sudah meminta maaf. Maafkan saya jika ia tidak menyenangkan. Kalaulah daripada maaf itu lahirlah rasa kepuasan daripada kesilapan saya. Namun bagi saya, kesalahan dan kesilapan itu wujud kerna sesuatu perbuatan tidak menepati masa dan tempat yang sepatutnya.
:) Sebagai manusia, saya dibekalkan dengan rasa marah, kecewa, tertekan dan rindu. Sejujurnya saya rindu pada ramai orang. Saya rindukan marah-marah mereka apatah lagi redup tenang mata mereka. Namun bilamana kerapkali mereka buat-buat tidak faham akan saya, sedangkan saya merendahkan diri untuk memahami mereka, akan lahirlah perasaan marah-marah dalam diri ini. Saya rasa tertekan kerna manusia selamanya berselindung atas tiket kemanusiaan mereka untuk melepaskan geram, sedangkan saya pula tidak dibenarkan. Bila saya marah, sayalah yang salah. Ok, saya salah. Tapi kenapa bila awak marah, saya juga yang salah? Awak tak pernah salah?
Saya lama-lama jadi naik bosan untuk meminta maaf. Kerna manusia begitu yakin pada diri sendiri, begitu mengangkat diri hinggakan mereka tidak pernah meminta kemaafan saya. Sayalah selamanya yang hina, yang keji, yang jahat, yang jahil dan yang silap.
:) Puas. Marah ini terlalu lama disimpan kerna kononnya alangkah mulianya senyuman saya. Kini ia diluahkan, dilepaskan. Bukan untuk menyakitkan hati orang lain, tapi untuk memenuhi keegoan saya sendiri. Kerna saya, manusia ini terlalu ego untuk menyalahkan diri sendiri dan sentiasa mencari sudut benar dalam perbuatan saya.
Susah sebenarnya. Menjadi manusia, khalifah dunia ini terlalu sukar. Tidak hairanlah gunung ganang, langit dan bumi enggan menerimanya. Saya salahkan diri, dewakan diri, tunggang-terbalik hanya kerna ingin mengembalikan sesuatu itu kepada asalnya. Kerna saya benci kepada perasaan tidak senang orang pada saya. Doa saya, saya takkan kehilangan sesiapa pun yang tak pernah jemu menemani saya.
Pun begitu saya ingat pada kata-kata saya pada dia suatu masa dulu:
I believe,
that no matter how good a friend is,
he's going to hurt you once in a while,
and you must forgive him for that. p/s: Marah-marah selalu memang tidak elok untuk kesihatan. Ia akan mengedutkan, muka, menaikkan tekanan darah dan merunsingkan kepala. Marah yang kadang-kadang umpama cili padi, memanaskan tom yam yang suam :)